1. Pendahuluan
Seperti yang telah dijelaskan dalam artikel kami tentang ‘Apakah itu satsang’, satsang adalah pertemanan/perkumpulan orang-orang yang mencari Kebenaran Mutlak (Tuhan). Kita boleh berada dalam perkumpulan Kebenaran Mutlak melalui pelbagai medium. Pelbagai jenis satsang akan dihuraikan seperti berikut.
2. Satsang dengan Tuhan
Seseorang yang tidak menjalankan sebarang amalan kerohanian, mengingati dan berbual dengan Tuhan pada masa-masa kesukaran sahaja. Seorang yang menjalankan amalan kerohanian, berbual kepada Tuhan bukan sahaja pada masa yang sukar, tetapi juga memberitahu/berkongsi secara terperinci setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan denganNya. Dia berkongsi dengan Tuhan segala kesilapan dan fikiran dari lubuk hatinya. Setelah beberapa lama, pencari Tuhan sedar bahawa dia mula mendapat jawapan dari dalam diri. Semakin maju seorang pencari dalam melakukan amalan kerohanian, dia akan cuba mengekalkan perbualan ini dengan Tuhan sepanjang masa dan oleh itu cuba untuk kekal dalam perhubungan dengan Tuhan. Bercakap dengan Tuhan adalah setara dengan satsang denganNya dan merupakan bentuk satsang yang tertinggi.
3. Satsang dengan orang-orang Suci/Wali, Guru, dan pencari Tuhan yang telah maju
Bagi kemajuan kerohanian yang cepat, kita seharusnya secara kerap mengikuti satsang dengan pencari-pencari Tuhan yang telah maju (evolved seekers) atau dengan pembimbing kerohanian seseorang. Selain mendapatkan faedah dari satsang, hal ini juga memberi peluang untuk membetulkan tindakan kita, memperbaiki amalan kerohanian dan menerima bimbingan untuk mengatasi sebarang halangan.
Kita perlu merancang satsang terlebih dahulu supaya masa yang dihabiskan dengan pencari Tuhan yang telah maju (evolved seekers) digunakan dengan betul, untuk mencapai matlamat tertentu. Sebagai contoh, sebelum menghubungi atau melawat pencari Tuhan yang telah maju, pelan/rancangan seharusnya dibuat tentang hari dan masa untuk menghubungi atau melawat. Kita harus mencatat pengalaman-pengalaman rohani, halangan-halangan, pertanyaan dan penambahbaikan kepada amalan kerohanian yang akan dibincangkan.
Kita harus mencatat perkara penting dan prinsip-prinsip asas yang telah kita pelajari daripada perbualan atau masa yang digunakan untuk memerhatikan pencari Tuhan yang telah maju, dan kemudian mengamalkannya. Tatkala kejadian tertentu atau perbualan membantu untuk menjelaskan prinsip dengan lebih baik, penekanan harus diberikan kepada memahami prinsip yang asas. Sebagai contoh, jika pencari Tuhan yang telah maju tersebut memetik contoh agar menjaga kebersihan telefon dan meletaknya dalam kedudukan yang betul, maka kita harus mengamalkan prinsip asas kebersihan dan kesempurnaan, sebagai sebahagian daripada amalan kerohanian seseorang. Kita juga harus faham bahawa prinsip yang sama perlu digunakan untuk segala-galanya dan bukan sahaja untuk hal penggunaan telefon. Kemudian kita harus membuat pelan untuk mengamalkan hal dan bimbingan yang telah dipelajari kerana ilmu tanpa amalan adalah sia-sia belaka.
Kita harus teliti segala pengalaman setiap kali kita berada dalam satsang dengan para pencari Tuhan yang telah maju. Misalnya, adakah menyebut dan mengulangi nama Tuhan (chanting) meningkat dari segi kuantitatif atau kualitatif, adakah keraguan terjawab walau sebelum dibincangkan, adakah apa-apa penyakit fizikal, seperti sakit pinggang, berkurang atau hilang tanpa rawatan, selepas komunikasi, adakah seseorang berasa baik, buruk atau tidak berubah? Oleh kerana amalan kerohanian adalah bertujuan untuk mencapai Kebahagiaan Mutlak (Ānand), secara beransur-ansur pengalaman Kebahagiaan Mutlak (Bliss) perlu meningkat dalam satsang. Jika ini tidak berlaku, maka seseorang harus menganalisis apa yang dilakukan secara tidak betul dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mencegah kesilapan tersebut berlaku lagi. Sebaliknya jika seseorang berasa baik, maka ia juga harus menganalisis apa yang telah dilakukannya dengan betul dan fokus pada hal itu seterusnya.
4. Satsang sesama para pencari Tuhan
Hal ini boleh berlaku sama ada secara fizikal, melalui internet atau melalui telefon. SSRF menyelenggarakan satsang- satsang dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa-bahasa Eropah untuk para pencari Tuhan di seluruh dunia. Oleh kerana para pencari Tuhan mungkin berada di bahagian berlainan di dunia, maka satsang dilakukan melalui kaedah komunikasi ‘Skype’. Semasa satsang–satsang ini, topik-topik kerohanian akan dibincangkan dan segala keraguan tentang amalan kerohanian akan dijelaskan.
Membincangkan tentang hal-hal kerohanian sesama para pencari Tuhan melalui telefon ataupun secara peribadi juga adalah salah satu jenis satsang.
Satsang-satsang tersebut dapat diklasifikasikan lebih lanjut bergantung kepada topik yang dibincangkan –
- Satsang informatif – maklumat-maklumat mengenai Kerohanian akan diberikan dan dibincangkan.
- Satsang Bimbingan/Panduan – Bimbingan/panduan mengenai amalan kerohanian individu dan penyebaran Kerohanian (dakwah) akan diberikan dalam satsang ini.
- Satsang emosi kerohanian (Bhāv) – bagi tujuan meningkatkan emosi kerohanian para peserta
5. Membaca teks-teks Suci yang ditulis oleh orang-orang Suci (Wali)
Ini adalah sejenis satsang di mana pembaca memperoleh Kesedaran Ketuhanan (Chaitanya) dari kata-kata yang ditulis di dalam Teks Suci. Ini adalah kerana penulisnya adalah seorang Wali (Saint) atau seseorang pencari Tuhan yang telah mencapai kemajuan kerohanian yang tinggi, di mana keazaman/niat suciNya memberi faedah kepada orang lain melalui firman/kata-kata yang ditulisNya. Beberapa pencari Tuhan SSRF telah menerangkan pengalaman kerohanian mereka, di mana hanya dengan memiliki sebuah buku yang ditulis oleh seorang Wali di sekitar mereka memberi manfaat penyembuhan kerohanian (spiritual healing) berlaku ke atas mereka.
6. Jenis-jenis Satsang yang lain
- Menghadiri taklimat kerohanian
- Mengunjungi tempat-tempat keagamaan seperti Gereja, Kuil, makam Wali dan sebagainya.
- Menginap di tempat ziarah suci (pilgrimage)
- Mendengar atau menyanyikan lagu-lagu pujaan (devotional songs), nyanyian pujian (holy hymns).
7. Kesimpulan
Kini kita telahpun mengetahui tentang pelbagai sumber di mana kita boleh berada di dalam pertemanan Kebenaran Mutlak (Tuhan) dan kepentingannya bagi pertumbuhan kerohanian kita. Kita boleh berusaha untuk sentiasa berada dalam satsang sepanjang hari dan memperoleh faedahnya.